Tuesday, May 4, 2010

LANANG 4: BUDI YANG DITABUR...



Tidak sukar untuk menjawab jika ada yang bertanya siapakah antara orang yang sepatutnya menerima ucapan terima kasih dari anak-anak SAKTI. Mereka inilah penjaga yang setia. Didikasinya tak pernah pudar. Dalam bengis ada tawanya. Bila bertugas, umpama lalat cari puru. Mengeluh jauh sekali. Sanggup bergaduh dengan anak bini. Bab memerah kain basah orang dah selalu mereka lakukan.
Aku percaya mereka ikhlas. Kalau tidak, masakan ada yang dah berbelas tahun sanggup bertunggu tangga di Aspura dan Aspuri. Janganlah cerita pasal anak-anak SAKTI. Mereka akan mudah terasa, ibarat cubit peha kanan, peha kiri akan turut terkena tempiasnya. Sakit pening anak-anak merekalah yang uruskan. Tak kira petang, pagi mahupun malam, mereka sanggup hantar ke hospital Kota Tinggi cari penawar. Walaupun kekadang pernah mereka ditipu tapi mereka tak pernah menipu. Bukan setakat batuk atau demam, malah kurap dan kayap pun mereka tahu tempat duduknya.
Mereka tak pernah putus harap dalam memberi nasihat. Walaupun kadang-kadang macam mencurah air di daun keladi, basah kuyup mandi peluh, tanam padi lalang yang tumbuh. nasihat tetap nasihat. Bagi mereka, batu pun boleh empuk, inikan pula hati manusia.
Dalam menjaga kebajikan anak-anak, mereka sebenarnya amat prihatin. Sanggup mengorbankan diri, yang penting anak-anak puas hati. Kadang-kadang mereka terlupa hingga bayang-bayang tak sepanjang badan. Itupun masih ada yang merunggut. Tak puas hati dengan kemudahan yang diberi. Aku sebenarnya bangga dapat berkerja bersama mereka.
SYABAS RAKAN-RAKAN WARDEN ASPURA DAN ASPURI

LANANG 3: ....TERTELAN ANAK KUNCI





Minggu-minggu pertama sebagai penjaga kepada ratusan remaja belasan tahun di SAKTI, aku agak gelisah. Kadang-kadang aku menjadi takut. Walaupun memiliki sedikit pengalaman semasa bertugas sebagai ketua warden di SMKA awal 90-an, kebimbangan aku tetap bersarang dalam hati. Maklumlah, zaman persekolahan 10 atau 11 tahun dulu tak sama dengan sekarang. Jauh sekali kalau nak disamakan dengan zaman aku bersekolah di SDPB dulu. Segalanya telah berubah. Kalau dulu bayaran makan di asrama RM 4.80, kini RM12.00 sehari. Malah ada yang mencecah RM13.00 dan RM14.00. Nilai itu sama dengan duit poket aku sebulan semasa tinggal di asrama pusat SDPB. Itu baru bab makan!!!. Kalau dulu anak-anak hanya bergantung kepada telefon awam, kini telefon bimbit sudah menjadi barang mainan walaupun diharamkan dibawa ke asrama!!. Aku perlu berubah. Berubah dari segi cara atau pendekatan dalam mengurus akan-anak SAKTI. Kata orang, seiring bertukar jalan, sekandang tidak sebau, seia bertukar sebut. Kata bijak pandai pula, didiklah anakmu mengikut zamannya. Aku kena akur. Lagi pun jiwaku sendiri dah berubah. Berubah mengikut umur yang makin lanjut. Anak-anak aku pun dah sama baya dengan remaja yang aku dan rakan-rakan warden jaga.

Justeru, aku sentiasa berhati-hati dalam membuat keputusan terutama yang melibatkan anak-anak SAKTI, umpama menarik rambut di dalam tepung supaya tidaklah kerana marahkan telaga yang kering, timba dipecahkan!!!. Dalam pada aku berhati-hati dan berdoa supaya tiada apa yang menganggu ketenteraman anak-anakku di asrama pada mingu pertama aku bertugas sebagai HEM, pada satu malam aku dikejutkan dengan panggilan telefon daripada warden bertugas, "Tuan Haji, ada pelajar yang perlu dibawa ke hospital!".
"Kenapa?", tanyaku dengan pantas.
"Tertelan anak kunci!!"

Monday, May 3, 2010

LANANG 2: Kisah di Sebalik Tirai


Tiga tahun lalu semasa mula-mula menerima tugas sebagai HEM SAKTI aku sebenarnya agak gementar. Ramai yang bercerita bahawa tugas ini sukar. Malah ada yang kata aku boleh jadi 'gila'. Gila kerana kerenah anak-anak remaja yang seramai 700 orang. Ditambah pula dengan kerenah ibu dan bapa yang berlainan latarbelakang. Semuanya perlu mendapat layanan. Tidak boleh lebih dan tidak boleh kurang. Nak kena sama rata. Sebab itu, apabila Hj Ayob berkunjung ke rumah pada malam itu membawa cerita yang aku kena jadi HEM ganti Hjh Halidah, fikiran aku berserabut. Aku tak dapat bagi jawapan. Tambahan pula ,fokus aku pada masa itu ialah membuat persiapan untuk ke Tanah Suci. Aku minta izin untuk ambil masa buat keputusan. Paling cepat sekembalinya dari mengerjakan haji aku dah ada jawapannya. Kalau aku setuju, maka banyak perkara yang terpaksa aku korbankan. Paling sukar untuk aku terima ialah keluar dari rumah aku di Jalan Mulia seterusnya tinggal di kuartes yang disediakan di SAKTI. Walaupun cantiknya tak seberapa, namun itulah teratak lima bilik yang menjadi pelindung aku, isteri dan anak-anak berbelas tahun lamanya. Ibarat tikar emas bantal suasa, manakan sama dengan berbantalkan lengan. Lagipun, hanya sepelaung jaraknya dari sekolah.
Akhirnya, dengan sokongan dari isteri dan rakan-rakan dan sedikit rungutan daripada anak-anak, aku terima tawaran untuk jadi Hem SAKTI yang ke-5. Nak cari pengalaman dan CABARAN BARU!!!!

LANANG 1


Menjadi sebahagian wargamu adalah satu rahmat. Tak pernah termimpi untuk aku menjadi seperti ini, apatah lagi mengurus anak-anak SAKTI yang hebat-hebat. Bakal menjadi pemimpin negara pada masa depan. Diringkaskan cerita, kalau umur panjang mungkin 20 atau 30 tahun akan datang, aku akan dikelilingi oleh pemimpin-pemimpin negara, ahli-ahli perniagaan, ketua-ketua jabatan, jurutera, doktor dan tokoh-tokoh pelbilang kerjaya yang lahir dari bumi SAKTI.
SAKTI MENERAJUI...