Hari Guru menjelma lagi. Saban tahun tarikh keramat 16 Mei akan ditunggu-tunggu oleh warga pendidik di seluruh pelusuk tanah air. Sama ada cikgu-cikgu faham atau tidak falsafah di sebalik perayaan tersebut aku kurang pasti. Seingat aku, Hari Guru di Malaysia disambut sebagai satu penghargaan kepada para cikgu. 16 Mei dipilih kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran yang dikenali sebagai Laporan Razak menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan negara ini.Di negara- negara lain, Hari Guru juga ada sambutannya. Di Brazil pada 15 Oktober, di Mexico pada 27 September dan di Amarika pada setiap Selasa pertama setiap bulan. Malah ada sesetengah negara seperti di Albania, Hari Guru yang jatuhnya pada 7 Mac telah dijadikan hari cuti tak rasmi!!! Secara tak langsung masyarakat dunia dengan sendirinya mengaku bahawa cikgu-cikgu memang hebat. Bayangkan jika semua cikgu mogok setahun mulai 1 Januari. Akan berlakulah kacau bilau. Ibu-ibu tak boleh kerja jaga anak di rumah, pendapatan isi rumah jatuh, remaja belasan tahun berkeliaran, dan yang paling membimbangkan minda masyarakat akan turut terbantut.
Apa yang penting, 16 Mei akan tetap diraikan bersama semeriah yang mungkin. Malah, ada cikgu yang meletakkan rangking sambutan Hari Guru di bawah sikit daripada Hari Raya Puasa dan Raya Haji. Kalau Hari Raya, kita beli dan pakai baju baru, maka nak menyambut Hari Guru pun sama juga. Berlumba-lumba khususnya cikgu perempuan hantar baju ke tukang jahit, tiga atau empat minggu sebelum perayaan. Itu pun selepas bertegang urat sesama rakan-rakan di bilik guru untuk memilih warna baju yang sesuai. Kalau boleh sama warnanya. Kalau boleh jangan sampai sama dengan tahun-tahun sebelumnya. Kalau boleh warnanya juga jangan sama dengan rakan-rakan di sekolah berhampiran. Itu baru warna. Belum lagi potongan bajunya!!. Bagi yang lelaki kalau tak sama warna baju, dapat pakai tali leher yang sama warna pun sudah memadai. Itulah hebatnya Hari Guru. Boleh menjadi penyumbang kepada penyatuan dan perpaduan, bak kata orang seikat bagai sirih, serumpun bagai serai. Namun, kalau tak kena caranya, boleh juga menjadi menyumbang kepada pertengkaran.
Bercerita tentang Hari Guru, maka soal hadiah akan menjadi antara topik utama. Guru yang paling banyak dapat hadiah akan berasa bangga. Bangganya tak boleh diungkapkan dengan kata-kata. Kadang-kadang hadiah menjadi simbol populariti seseorang cikgu. Sama macam Akademik Fantasia. Biasanya yang paling beruntung ialah guru-guru muda, bujang dan ada muka. Tak cukup tangan, minta tolong kawan bawakan. Penuh satu bonet kereta bawa hadiah balik rumah. Bagi sesetengah cikgu, hadiah yang diterima melebihi hadiah semasa jadi pengantin.Untuk memastikan semua guru dapat habuan , maka majlis bertukar-tukar hadiah sesama sendiri dibuat. Yang penting, naik pentas!!! Walaupun dah tahu apa dan berapa nilai hadiahnya. Inilah seronoknya jadi cikgu. Cuma satu yang nak aku jelaskan, bahawa sebenarnya cikgu-cikgu bukannya kemaruk sangat dengan hadiah. Hadiah sekadar untuk keseronokkan dan sebagai simbol penghargaan. Sebab itu, Perdana Menteri pun bagi hadiah. Menteri-menteri kabinet pun bagi hadiah. Walaupun sekadar kad ucapan bukan bonus atau kenaikan gaji, tapi aku tetap berbangga. Itulah penghargaan. Mereka tahu, tanpa cikgu mereka tidak akan ke mana!!.
Tahun ini, Kementerian Pelajaran
Kepada teman-teman aku di SAKTI, aku bangga menjadi sebahagian daripada anda semua. Teruskan perjuangan di bawah kepimpinan yang ada. Insyaalah, ayahanda pengetua akan sentiasa membantu. Ibarat kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan, uratnya tempat bersila, batangnya tempat bersandar. Aku percaya selama ini pun banyak nasihatnya yang telah kita guna pakai untuk memperbaiki diri apatah lagi dalam menguruskan profesionalisme kita di SAKTI. Sepahit-pahit mambu, kelatnya menjadi ubat. SELAMAT HARI GURU………