Sunday, October 10, 2010

LANANG 7:MUDA YANG DAH HAMPIR DITINGGALKAN


Lagi sekali anak isteri dan rakan-rakan mengucap selamat hari lahir untuk kali yang ke 45. Terima kasih banyak-banyak. Kadang-kadang aku jadi takut. Takut kerana perjalananku menghampiri dinding. Satu hari dinding itu akan ku sentuh. Cuma tak tahu bila dan di mana. Doa dari isteri, anak-anak dan sahabat menjadikan aku bersemangat pada kali ini. 45... angka keramat yang tak semua orang melepasinya. Aku sangat bersyukur.

Monday, September 6, 2010

LANANG 6: SELAMAT TINGGAL RAMADAN


Berbuka untuk kali terakhir sebagai pelajar di SAKTI


Berbuka untuk kali terakhir di Dewan S. Balau






Berbuka buat kali terakhir bersama seorang yang bernama pengetua




.....saat indah bersama pasti akan diingati.....Naailah 5 Nilam




Tanpa disedari, pada hari Khamis bersamaan 02 September 2010 menjadi detik yang akan menjadi kenangan kepada sebahagian anak-anakku di SAKTI. Apa tidaknya...kerana pada hari tersebut seramai 139 pelajar tingkatan lima telah berbuka puasa buat kali terakhir sebagai pelajar @ penghuni di asrama SAKTI. Sedih ada gembira pun ada. Aku percaya selama lima tahun berada di bumi SAKTI kenangan Ramadan akan menjadi sebahagian memori penting anak-anak SAKTI ini. Kenangan bersyahur, berbuka, berterawih, bertadarus dan lain-lain peristiwa berkaitan termasuk ke bazar Ramadan semasa di SAKTI, akan menjadi topik berbualan anak-anak ini pada 5 atau 10 tahun akan datang terutama apabila menjelangnya puasa.Semoga anak-anak SAKTI tingkatan lima akan terus berjaya. Jangan lupa kepada semua warden yang telan menjaga kalian. Amin.






Thursday, August 5, 2010

LANANG 5: .....JANGAN SAMPAI STRES

Beberapa minggu yang lalu, buat kali ketiga aku mengambil cuti rehat yang diperuntukkan untuk menghantar ayahanda ke Hospital Serdang. Rawatan jantung. Maklumlah, umur dah meningkat. 74 tahun. Doktor terpaksa melakukan pembedahan untuk membina 'labuhraya' baru. Katanya, itulah saja cara untuk memulihkan penyakitnya. Seawal jam 9.30 pagi, aku dah terpacak di lobi hospital, walhal temu janjinya jam 11.00. Sambil menunggu kehadiran doktor sempat juga aku membaca apa saja bahan yang ditampal pada dinding bilik menunggu. Dalam banyak-banyak bahan yang aku baca, aku tertarik dengan artikel berkaitan stres. Langsung aku teringat rakan-rakan seperjuangan di SAKTI. Masih muda-muda belaka. Sihat, ceria dan cergas walaupun tekanan kerja kian bertambah saban hari. Namun, perlu untuk aku kongsikan maklumat berkaitan stres ini bersama rakan-rakan sebagai iktibar. Mudah-mudahan kita akan terus ceria dan sihat........

STRES PEKERJAAN

PUNCA-PUNCA STRES PEKERJAAN

  • Objektif dan struktur organisasi yang kurang jelas
  • Perkembangan kerjaya, status dan gaji yang tidak memuaskan
  • Peranan yang berkonflik
  • Tugas yang membosankan dan tidak bermakna
  • Kerja yang terlalu banyak atau terlalu sedikit
  • Waktu bekerja yang terlalu panjang dan tidak anjal
  • Kurang sokongan daripada rakan sekerja atau pihak atasan
  • Konflik interpersonal
  • Konflik di antara tuntutan kerja dan rumah

LANGKAH-LANGKAH MENANGANI STRES PEKERJAAN

  1. Tingkatkan sokongan sosial di tempat kerja
    • Menjalinkan tali persahabatan sesama rakan sekerja
    • Berkongsi masalah dengan mereka yang boleh dipercayai

  1. Praktikan pemikiran yang rasional dan positif
    • Pemikiran, kepercayaan atau perasaan yang negatif atau tidak rasional kerap kali menyebabkan salah faham. Sekiranya keadaan ini berlaku:
      • Jangan biarkan salah faham menjejaskan perasaan dan tindakan anda.
      • Pastikan tafsiran anda tentang sesuatu situasi sepadan dengan fakta
      • Gantikan pemikiran yang tidak rasional dan negatif dengan keterangan yang lebih munasabah.

  1. Berkomunikasi secara berkesan
    • Jadilah pendengar yang baik
    • Berkomunikasi secara asertif
    • Luahkan pendapat anda secara jelas, tepat dan tegas
    • Hormat pandangan orang lain
    • Gunakan fakta, dan bukannya mengikut perasaan

  1. Tangani kritikan dengan baik
    • Apabila anda dikritik:
      • Bertenang
      • Tentukan apa yang anda boleh percaya
    • Sekiranya kritikan itu bersifat membina dan benar
      • Terima
      • Ambil langkan yang sewajawnya
    • Sekiranya kritikan itu tidak benar dan menyinggung perasaan anda:
      • Dapatkan lebih maklumat
      • Betulkan tanggapan yang salah itu.
  2. Tangani kemarahan secara berkesan
    • Tiga langkah yang penting:
      • Berhenti:

Akui bahawa anda sedang marah, dan cuba bertenang.

      • Berfikir:

Rancang fikiran anda

      • Bertindak:

Guna daya tindak yang berkesan

  1. Atasi masalah dengan berkesan
    • Jika anda menganggap sesuatu itu boleh diubah, gunakan teknik IDEAL:
      • I : Kenal pasti masalah (Identify the problem)
      • D : Huraikan pilihan yang ada (Describe possible options)
      • E : Nilaikan akibat setiap pilihan (kelebihan dan kelemahan)

(Evaluate pros and cons)

      • A : Bertindak berdasarkan pilihan yang paling baik (Act

based on the best possible Action)

      • L : Belajar dan semak semula (Learn)
    • Jika anda menganggap sesuatu situasi itu tidak boleh diubah, kendalikan emosi anda secara positif dengan berkongsi perasaan dengan orang yang dipercayai, berdoa dan lain-lain

  1. Priktikkan pengurusan masa yang berkesan
    • Akuilah anda hanya ada 24 jam sehari
    • Senaraikan tugas-tugas anda dan utamakan mengikut kepentingan dan keperluan
    • Delegasikan tugas anda secara berkesan.

  1. Amalkan cara hidup sihat
    • Bersenam selalu
    • Makan secara sihat
    • Luangkan masa untuk beriadah dan berekreasi
    • Belajar teknik relaksasi (muzik, meditasi dan lain-lain)

'Semoga Allah memberi kesihatan dan kelapangan kepada rakan-rakan sekeluarga'

Sunday, May 16, 2010

SELAMAT HARI GURU


Hari Guru menjelma lagi. Saban tahun tarikh keramat 16 Mei akan ditunggu-tunggu oleh warga pendidik di seluruh pelusuk tanah air. Sama ada cikgu-cikgu faham atau tidak falsafah di sebalik perayaan tersebut aku kurang pasti. Seingat aku, Hari Guru di Malaysia disambut sebagai satu penghargaan kepada para cikgu. 16 Mei dipilih kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran yang dikenali sebagai Laporan Razak menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan negara ini.Di negara- negara lain, Hari Guru juga ada sambutannya. Di Brazil pada 15 Oktober, di Mexico pada 27 September dan di Amarika pada setiap Selasa pertama setiap bulan. Malah ada sesetengah negara seperti di Albania, Hari Guru yang jatuhnya pada 7 Mac telah dijadikan hari cuti tak rasmi!!! Secara tak langsung masyarakat dunia dengan sendirinya mengaku bahawa cikgu-cikgu memang hebat. Bayangkan jika semua cikgu mogok setahun mulai 1 Januari. Akan berlakulah kacau bilau. Ibu-ibu tak boleh kerja jaga anak di rumah, pendapatan isi rumah jatuh, remaja belasan tahun berkeliaran, dan yang paling membimbangkan minda masyarakat akan turut terbantut.

Apa yang penting, 16 Mei akan tetap diraikan bersama semeriah yang mungkin. Malah, ada cikgu yang meletakkan rangking sambutan Hari Guru di bawah sikit daripada Hari Raya Puasa dan Raya Haji. Kalau Hari Raya, kita beli dan pakai baju baru, maka nak menyambut Hari Guru pun sama juga. Berlumba-lumba khususnya cikgu perempuan hantar baju ke tukang jahit, tiga atau empat minggu sebelum perayaan. Itu pun selepas bertegang urat sesama rakan-rakan di bilik guru untuk memilih warna baju yang sesuai. Kalau boleh sama warnanya. Kalau boleh jangan sampai sama dengan tahun-tahun sebelumnya. Kalau boleh warnanya juga jangan sama dengan rakan-rakan di sekolah berhampiran. Itu baru warna. Belum lagi potongan bajunya!!. Bagi yang lelaki kalau tak sama warna baju, dapat pakai tali leher yang sama warna pun sudah memadai. Itulah hebatnya Hari Guru. Boleh menjadi penyumbang kepada penyatuan dan perpaduan, bak kata orang seikat bagai sirih, serumpun bagai serai. Namun, kalau tak kena caranya, boleh juga menjadi menyumbang kepada pertengkaran.

Bercerita tentang Hari Guru, maka soal hadiah akan menjadi antara topik utama. Guru yang paling banyak dapat hadiah akan berasa bangga. Bangganya tak boleh diungkapkan dengan kata-kata. Kadang-kadang hadiah menjadi simbol populariti seseorang cikgu. Sama macam Akademik Fantasia. Biasanya yang paling beruntung ialah guru-guru muda, bujang dan ada muka. Tak cukup tangan, minta tolong kawan bawakan. Penuh satu bonet kereta bawa hadiah balik rumah. Bagi sesetengah cikgu, hadiah yang diterima melebihi hadiah semasa jadi pengantin.Untuk memastikan semua guru dapat habuan , maka majlis bertukar-tukar hadiah sesama sendiri dibuat. Yang penting, naik pentas!!! Walaupun dah tahu apa dan berapa nilai hadiahnya. Inilah seronoknya jadi cikgu. Cuma satu yang nak aku jelaskan, bahawa sebenarnya cikgu-cikgu bukannya kemaruk sangat dengan hadiah. Hadiah sekadar untuk keseronokkan dan sebagai simbol penghargaan. Sebab itu, Perdana Menteri pun bagi hadiah. Menteri-menteri kabinet pun bagi hadiah. Walaupun sekadar kad ucapan bukan bonus atau kenaikan gaji, tapi aku tetap berbangga. Itulah penghargaan. Mereka tahu, tanpa cikgu mereka tidak akan ke mana!!.

Tahun ini, Kementerian Pelajaran Malaysia telah memilih, “Guru Pembina Negara Bangsa” sebagai tema perayaan sambutan Hari Guru. Seingat aku, dah dua tahun tema ini diguna pakai. Ada banyak kemungkinan keadaan ini berlaku. Mungkin tema ini sekali lagi dipilih sebab kementerian masih tak puas hati dengan sumbangan para cikgu yang budiman dalam membantu mencorakkan anak-anak pelajar yang akan menjadi pendokong pembentukan Negara Bangsa. Kasihan… cikgu. Semua plot cerita yang berlaku dalam masyarakat, cikgulah antara watak utamanya. Dari bab pembuangan bayi, sampailah bab remaja-remaja yang tertembak jam dua tiga pagi, golongan cikgu kena getahnya. Apapun yang berlaku di luar sana, biarlah 16 Mei kali ini kita sambut sama-sama ikut sebagaimana yang dirancang. Jangan hari-hari tension dengan kerja kita. Berkeluh kesah dengan tidak keruan, macam katak ditimpa kemarau. Sekali-sekala,biarlah sehari menjadi harimau, jangan selama-lamanya menjadi kambing.

Kepada teman-teman aku di SAKTI, aku bangga menjadi sebahagian daripada anda semua. Teruskan perjuangan di bawah kepimpinan yang ada. Insyaalah, ayahanda pengetua akan sentiasa membantu. Ibarat kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan, uratnya tempat bersila, batangnya tempat bersandar. Aku percaya selama ini pun banyak nasihatnya yang telah kita guna pakai untuk memperbaiki diri apatah lagi dalam menguruskan profesionalisme kita di SAKTI. Sepahit-pahit mambu, kelatnya menjadi ubat. SELAMAT HARI GURU………

Tuesday, May 4, 2010

LANANG 4: BUDI YANG DITABUR...



Tidak sukar untuk menjawab jika ada yang bertanya siapakah antara orang yang sepatutnya menerima ucapan terima kasih dari anak-anak SAKTI. Mereka inilah penjaga yang setia. Didikasinya tak pernah pudar. Dalam bengis ada tawanya. Bila bertugas, umpama lalat cari puru. Mengeluh jauh sekali. Sanggup bergaduh dengan anak bini. Bab memerah kain basah orang dah selalu mereka lakukan.
Aku percaya mereka ikhlas. Kalau tidak, masakan ada yang dah berbelas tahun sanggup bertunggu tangga di Aspura dan Aspuri. Janganlah cerita pasal anak-anak SAKTI. Mereka akan mudah terasa, ibarat cubit peha kanan, peha kiri akan turut terkena tempiasnya. Sakit pening anak-anak merekalah yang uruskan. Tak kira petang, pagi mahupun malam, mereka sanggup hantar ke hospital Kota Tinggi cari penawar. Walaupun kekadang pernah mereka ditipu tapi mereka tak pernah menipu. Bukan setakat batuk atau demam, malah kurap dan kayap pun mereka tahu tempat duduknya.
Mereka tak pernah putus harap dalam memberi nasihat. Walaupun kadang-kadang macam mencurah air di daun keladi, basah kuyup mandi peluh, tanam padi lalang yang tumbuh. nasihat tetap nasihat. Bagi mereka, batu pun boleh empuk, inikan pula hati manusia.
Dalam menjaga kebajikan anak-anak, mereka sebenarnya amat prihatin. Sanggup mengorbankan diri, yang penting anak-anak puas hati. Kadang-kadang mereka terlupa hingga bayang-bayang tak sepanjang badan. Itupun masih ada yang merunggut. Tak puas hati dengan kemudahan yang diberi. Aku sebenarnya bangga dapat berkerja bersama mereka.
SYABAS RAKAN-RAKAN WARDEN ASPURA DAN ASPURI

LANANG 3: ....TERTELAN ANAK KUNCI





Minggu-minggu pertama sebagai penjaga kepada ratusan remaja belasan tahun di SAKTI, aku agak gelisah. Kadang-kadang aku menjadi takut. Walaupun memiliki sedikit pengalaman semasa bertugas sebagai ketua warden di SMKA awal 90-an, kebimbangan aku tetap bersarang dalam hati. Maklumlah, zaman persekolahan 10 atau 11 tahun dulu tak sama dengan sekarang. Jauh sekali kalau nak disamakan dengan zaman aku bersekolah di SDPB dulu. Segalanya telah berubah. Kalau dulu bayaran makan di asrama RM 4.80, kini RM12.00 sehari. Malah ada yang mencecah RM13.00 dan RM14.00. Nilai itu sama dengan duit poket aku sebulan semasa tinggal di asrama pusat SDPB. Itu baru bab makan!!!. Kalau dulu anak-anak hanya bergantung kepada telefon awam, kini telefon bimbit sudah menjadi barang mainan walaupun diharamkan dibawa ke asrama!!. Aku perlu berubah. Berubah dari segi cara atau pendekatan dalam mengurus akan-anak SAKTI. Kata orang, seiring bertukar jalan, sekandang tidak sebau, seia bertukar sebut. Kata bijak pandai pula, didiklah anakmu mengikut zamannya. Aku kena akur. Lagi pun jiwaku sendiri dah berubah. Berubah mengikut umur yang makin lanjut. Anak-anak aku pun dah sama baya dengan remaja yang aku dan rakan-rakan warden jaga.

Justeru, aku sentiasa berhati-hati dalam membuat keputusan terutama yang melibatkan anak-anak SAKTI, umpama menarik rambut di dalam tepung supaya tidaklah kerana marahkan telaga yang kering, timba dipecahkan!!!. Dalam pada aku berhati-hati dan berdoa supaya tiada apa yang menganggu ketenteraman anak-anakku di asrama pada mingu pertama aku bertugas sebagai HEM, pada satu malam aku dikejutkan dengan panggilan telefon daripada warden bertugas, "Tuan Haji, ada pelajar yang perlu dibawa ke hospital!".
"Kenapa?", tanyaku dengan pantas.
"Tertelan anak kunci!!"

Monday, May 3, 2010

LANANG 2: Kisah di Sebalik Tirai


Tiga tahun lalu semasa mula-mula menerima tugas sebagai HEM SAKTI aku sebenarnya agak gementar. Ramai yang bercerita bahawa tugas ini sukar. Malah ada yang kata aku boleh jadi 'gila'. Gila kerana kerenah anak-anak remaja yang seramai 700 orang. Ditambah pula dengan kerenah ibu dan bapa yang berlainan latarbelakang. Semuanya perlu mendapat layanan. Tidak boleh lebih dan tidak boleh kurang. Nak kena sama rata. Sebab itu, apabila Hj Ayob berkunjung ke rumah pada malam itu membawa cerita yang aku kena jadi HEM ganti Hjh Halidah, fikiran aku berserabut. Aku tak dapat bagi jawapan. Tambahan pula ,fokus aku pada masa itu ialah membuat persiapan untuk ke Tanah Suci. Aku minta izin untuk ambil masa buat keputusan. Paling cepat sekembalinya dari mengerjakan haji aku dah ada jawapannya. Kalau aku setuju, maka banyak perkara yang terpaksa aku korbankan. Paling sukar untuk aku terima ialah keluar dari rumah aku di Jalan Mulia seterusnya tinggal di kuartes yang disediakan di SAKTI. Walaupun cantiknya tak seberapa, namun itulah teratak lima bilik yang menjadi pelindung aku, isteri dan anak-anak berbelas tahun lamanya. Ibarat tikar emas bantal suasa, manakan sama dengan berbantalkan lengan. Lagipun, hanya sepelaung jaraknya dari sekolah.
Akhirnya, dengan sokongan dari isteri dan rakan-rakan dan sedikit rungutan daripada anak-anak, aku terima tawaran untuk jadi Hem SAKTI yang ke-5. Nak cari pengalaman dan CABARAN BARU!!!!