Tuesday, May 4, 2010

LANANG 4: BUDI YANG DITABUR...



Tidak sukar untuk menjawab jika ada yang bertanya siapakah antara orang yang sepatutnya menerima ucapan terima kasih dari anak-anak SAKTI. Mereka inilah penjaga yang setia. Didikasinya tak pernah pudar. Dalam bengis ada tawanya. Bila bertugas, umpama lalat cari puru. Mengeluh jauh sekali. Sanggup bergaduh dengan anak bini. Bab memerah kain basah orang dah selalu mereka lakukan.
Aku percaya mereka ikhlas. Kalau tidak, masakan ada yang dah berbelas tahun sanggup bertunggu tangga di Aspura dan Aspuri. Janganlah cerita pasal anak-anak SAKTI. Mereka akan mudah terasa, ibarat cubit peha kanan, peha kiri akan turut terkena tempiasnya. Sakit pening anak-anak merekalah yang uruskan. Tak kira petang, pagi mahupun malam, mereka sanggup hantar ke hospital Kota Tinggi cari penawar. Walaupun kekadang pernah mereka ditipu tapi mereka tak pernah menipu. Bukan setakat batuk atau demam, malah kurap dan kayap pun mereka tahu tempat duduknya.
Mereka tak pernah putus harap dalam memberi nasihat. Walaupun kadang-kadang macam mencurah air di daun keladi, basah kuyup mandi peluh, tanam padi lalang yang tumbuh. nasihat tetap nasihat. Bagi mereka, batu pun boleh empuk, inikan pula hati manusia.
Dalam menjaga kebajikan anak-anak, mereka sebenarnya amat prihatin. Sanggup mengorbankan diri, yang penting anak-anak puas hati. Kadang-kadang mereka terlupa hingga bayang-bayang tak sepanjang badan. Itupun masih ada yang merunggut. Tak puas hati dengan kemudahan yang diberi. Aku sebenarnya bangga dapat berkerja bersama mereka.
SYABAS RAKAN-RAKAN WARDEN ASPURA DAN ASPURI

No comments:

Post a Comment